Halaman

Ahad, 4 Oktober 2015

Dua beranak diami rumah usang

BACHOK - Dua beranak dari Kampung Telaga Ara dekat sini, terpaksa mendiami rumah usang berusia lebih 40 tahun lalu.

Asri Othman, 42, bersama anaknya, Nur Aina Nabilah, 19, mendiami rumah pusaka itu, dan tidak mampu untuk membaik pulih segala kerosakan.

“Saya kerja kampung sahaja dan terpaksa tinggal di rumah ini. Anak saya yang lain dah tinggal bersama ibu mereka di tempat lain.

“Sekarang hanya tinggal seorang anak bersama saya. Rumah ini asalnya milik ibu saya, Makelesom Abas tetapi kini ibu saya tinggal di rumah adik- beradik lain yang berdekatan. Kalau boleh saya perlukan bantuan untuk baik pulih rumah ini yang amat usang,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian bersama Penyelaras Dun Jelawat, Mohd Radzuan Hamat mendapati banyak dinding rumah papan tersebut telah reput dan berlubang, malah atap juga bocor.

Mohd Radzuan berharap agensi berkenaan tampil menghulurkan bantuan untuk membaik pulih kediaman Asri demi keselesaan keluarga terbabit.

Tidak sempat bawa lari barang curi

GUAL TINGGI – Dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun ditahan kerana dipercayai cuba menceroboh sebuah rumah penduduk di Kampung Gual Tinggi, pada jam 9.30 malam, Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek dikatakan tidak sempat melarikan barang yang diambil dari rumah mangsa, Zulkifli Ibrahim, 36.

Berdasarkan laporan polis, menyedari kegiatan mereka disedari oleh Zulkifli, suspek kemudiannya cuba menyerang mangsa menggunakan besi dan pada masa sama, kelibat tiga lagi suspek dilihat cuba melarikan barangan yang diambil dari rumah berkenaan.

Mengikut laporan itu lagi, berlaku pergelutan antara Zulkifli dan suspek sebelum mangsa diselamatkan oleh penduduk sekitar.

Hasil pemeriksaan, mangsa mendapati palang besi di bahagian belakang rumahnya telah dipotong, manakala komputer riba, barang kemas, wang tunai dan beberapa barangan lain hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu serta memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan dan bersenjata.