Halaman

Ahad, 4 Oktober 2015

Dua beranak diami rumah usang

BACHOK - Dua beranak dari Kampung Telaga Ara dekat sini, terpaksa mendiami rumah usang berusia lebih 40 tahun lalu.

Asri Othman, 42, bersama anaknya, Nur Aina Nabilah, 19, mendiami rumah pusaka itu, dan tidak mampu untuk membaik pulih segala kerosakan.

“Saya kerja kampung sahaja dan terpaksa tinggal di rumah ini. Anak saya yang lain dah tinggal bersama ibu mereka di tempat lain.

“Sekarang hanya tinggal seorang anak bersama saya. Rumah ini asalnya milik ibu saya, Makelesom Abas tetapi kini ibu saya tinggal di rumah adik- beradik lain yang berdekatan. Kalau boleh saya perlukan bantuan untuk baik pulih rumah ini yang amat usang,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian bersama Penyelaras Dun Jelawat, Mohd Radzuan Hamat mendapati banyak dinding rumah papan tersebut telah reput dan berlubang, malah atap juga bocor.

Mohd Radzuan berharap agensi berkenaan tampil menghulurkan bantuan untuk membaik pulih kediaman Asri demi keselesaan keluarga terbabit.

Tidak sempat bawa lari barang curi

GUAL TINGGI – Dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun ditahan kerana dipercayai cuba menceroboh sebuah rumah penduduk di Kampung Gual Tinggi, pada jam 9.30 malam, Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek dikatakan tidak sempat melarikan barang yang diambil dari rumah mangsa, Zulkifli Ibrahim, 36.

Berdasarkan laporan polis, menyedari kegiatan mereka disedari oleh Zulkifli, suspek kemudiannya cuba menyerang mangsa menggunakan besi dan pada masa sama, kelibat tiga lagi suspek dilihat cuba melarikan barangan yang diambil dari rumah berkenaan.

Mengikut laporan itu lagi, berlaku pergelutan antara Zulkifli dan suspek sebelum mangsa diselamatkan oleh penduduk sekitar.

Hasil pemeriksaan, mangsa mendapati palang besi di bahagian belakang rumahnya telah dipotong, manakala komputer riba, barang kemas, wang tunai dan beberapa barangan lain hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu serta memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan dan bersenjata.

Selasa, 22 September 2015

Rumah Perantaraan Penjara Kelantan Mula Beroperasi Pada Oktober

KOTA BAHARU, 22 Sept - Jabatan Penjara Kelantan akan menempatkan 20 Orang Di Parol (ODP) di rumah perantaraan yang pertama diwujudkan di negeri ini, di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, bermula Oktober ini.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Penjara Hamzani Che Berahim berkata ia bertujuan membantu ODP memulakan hidup baharu dengan lebih baik selepas menjalani hukuman.

"Rumah perantaraan ini akan menjadi satu dimensi baharu buat ODP kerana mungkin sebelum ini mereka berjauhan dengan keluarga, tersisih daripada masyarakat dan tiada tempat tinggal.

"Jadi kita kurangkan beban psikologi supaya mereka berasa gembira dan selesa sebab masih ada orang mengambil berat tentang mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Penerimaan Tugas Parol dan Perkhidmatan Komuniti di Penjara Pengkalan Chepa, di sini Selasa.

Beliau sebelum itu menerima tugas sebagai Pengarah Penjara Kelantan daripada Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff yang ditukarkan ke Penjara Alor Setar, Kedah.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Penjara Bentong, Pahang Timbalan Komisioner Penjara Muhammad Zuki Muhammad Zain.

Hamzani berkata rumah perantaraan itu juga memainkan peranan penting bagi membantu ODP berubah menjadi lebih baik, sekali gus boleh membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

"Kita akan adakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan bimbingan agar mereka tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Pihak kami juga akan menerima ODP dari Pahang dan Terengganu sekiranya ada kekosongan tempat," katanya.

Program Rumah Perantaraan Jabatan Penjara merupakan antara 50 inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan kadar jenayah negara.

Idea penubuhan Rumah Perantaraan dicetuskan dalam Makmal Pengurangan Jenayah yang diadakan pada Oktober 2009 di bawah inisiatif Program Penempatan Semula Banduan selepas dibebaskan daripada penjara.

Sabtu, 19 September 2015

2 nyaris maut kenderaan jatuh cerun

Atan menunjukkan kenderaan dinaiki terjatuh dalam cerun di tepi Sungai Nenggiri.
GUA MUSANG - Dua pemuda Orang Asli nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbalik dalam cerun ketinggian 10 meter di Kampung Gua Cha, Jalan Gua Musang - Pos Tohoi, dekat sini, petang kelmarin.

Bagaimanapun, dua mangsa itu pemandu kenderaan terbabit Badira Angah, 20 bersama seorang penumpang, Atan Hamdan, 24, hanya mengalami cedera ringan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Kampung Kuala Betis ke Pos Tohoi untuk ambil penduduk Orang Asli bawah keluar membeli belah di bandar ini.

Ketika dalam perjalanan itu, Badira yang memandu kenderaan cuba elak lubang besar sebelum terbabas ke kanan jalan lalu terbalik ke dalam cerun di tepi Sungai Nenggiri.

Badira ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia menjerit bagi menyedarkan Atan yang sedang tidur semasa kenderaan terbabas dan sama-sama keluar menerusi cermin depan yang pecah bagi menyelamatkan diri.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku dengan sekelip mata sahaja dan bernasib baik kenderaan tersekat pada pokok kayu di tepi sungai jika tidak mungkin tenggelam ke dalam suangi berkenaan.

“Pada mulanya kereta itu berada separuh terlentang selepas terguling beberapa kali tetapi kami berdua menolak supaya kedudukan seperti biasa walaupun keadaan kenderaan separuh remuk,” katanya.

Atan pula berkata, ketika kejadian itu dia tidak ingat lain lagi kecuali mati kerana kenderaan yang naikinya berguling ketinggian 10 meter dan tersekat di tepi sungai yang arusnya deras.

Beliau berkata, sebelum itu dia sedang tidur dan tiba-tiba terasa terpelanting dalam kenderaan sebelum merangkak keluar menerusi cermin depan yang pecah.

“Nasib baik keadaan kami berdua hanya cedera ringan jika terbalik ke dalam sungai tak tahulah apa terjadi dan kami dibantu penduduk yang kebetulan lalui menarik saya naik ke atas jalan,” katanya.

Selasa, 15 September 2015

Ibu muda dipenjara

KOTA BHARU - Pengajaran buat seorang ibu muda kepada dua cahaya mata kerana kesalahan memiliki wang palsu berjumlah RM600, dia dihukum penjara tiga tahun enam bulan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus selepas tertuduh, Nur Nadia Natasha Che Yin, 23, mengaku salah atas tuduhan itu.

Dia didakwa memiliki enam not RM50 palsu di hadapan sebuah kedai di Jalan Bayam, di sini, pada jam 4.45 pagi, 31 Ogos lalu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan merayu hukuman dikurangkan dengan mengambil kira usia yang masih muda.

“Tertuduh tamat pelajaran di tingkatan lima dan perlu menyara dua anaknya berusia 2 tahun serta sebulan. Pada usia ini, tertuduh perlu diberi peluang memperbaiki diri dan hukuman pemenjaraan yang lama akan mendedahkan tertuduh kepada perkara lebih negatif,” kata peguam.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mariah Omar yang mengendalikan kes itu bagaimanapun memohon mahkamah memutuskan satu hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.

Mohd Yusoff kemudian mengarahkan hukuman berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan, 31 Ogos lalu.
Tertuduh ditahan ketika menunggang motosikal bersama seorang lelaki oleh pasukan rondaan cegah jenayah sebelum menyerahkan satu beg berisi pisau lipat dan duit palsu tersebut.  

Dalam perkembangan sama, tertuduh juga mengaku salah di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin kerana memiliki 2.57 gram dadah jenis metamphetamine pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.
Hukuman terhadapnya ditangguhkan 3 November depan untuk mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah berkenaan.
Tertuduh dari Kampung Paloh, dikawal polis keluar dari mahkamah selepas dihukum.

'Sekolah adakan majlis tahlil buat arwah'

JELI - Pemergian ke rahmatullah seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli, Siti Norushlizan Zolkifli, 37, yang maut dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Jumaat lalu, turut dirasai warga sekolah berkenaan.

Pengetuanya, Mazlan Yaacob berkata, sebagai seorang Guru Penyelaras Bestari (GPB) yang rajin dan berdedikasi serta banyak membantu pelajar, pemergian Allahyarham disifatkan satu kehilangan besar kepada seluruh warga sekolah itu.

Bahkan, katanya, sebelum berangkat ke Tanah Suci Makkah, Allahyarham sempat melaksanakan beberapa program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk mengadakan kelas komputer untuk pelajarnya.

"Walaupun saya baharu berkhidmat di sekolah ini, akhir tahun lalu, saya dapat buat penilaian terhadap segala usaha dibuat arwah untuk pelajarnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mazlan, beliau dan warga sekolah itu amat terkejut apabila mendapat tahu mengenai kehilangan Siti Norushlizan dan berita beliau disahkan meninggal dunia.

"Kami terkejut bila dapat berita kematiannya kerana arwah baharu sahaja berangkat ke Makkah, Rabu lalu. Susulan berita sedih ini, kami adakan majlis tahlil untuk arwah," katanya.

Pembinaan 11 jeti terlalu perlahan

TUMPAT - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak berpuas hati perkembangan pembinaan 11 jeti di Pengkalan Kubor kerana terlalu perlahan.

Mustapa berkata, sepatutnya pembinaan jeti tersebut yang melibatkan peruntukan RM2.5 juta dapat disiapkan pada November ini.

“Nampaknya pembinaannya tidak serius apabila pembinaan jeti besar di Pantai Geting bernilai setengah juta itu hanya ada tiga pekerja.

“Saya cukup bimbang ia tidak dapat disiapkan tahun ini kerana November dan Disember, negeri ini akan dilanda banjir pula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tinjauan di tapak pembinaan jeti di Pantai  Geting, kelmarin.

Turut sama, Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz dan Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Pembinaan jeti itu adalah antara janji pada PRK Dun Pengkalan Kubor tahun lalu untuk kemudahan nelayan di sini, seperti dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lokasi jeti yang akan dibina bermula dari Kampung Kebun hingga ke Pantai Geting.

10 jeti kecil (jeti tambat bot) dengan kos antara RM100,000 hingga RM150,000 dan satu jeti pendaratan ikan bernilai RM500,000.