Halaman

Selasa, 22 September 2015

Rumah Perantaraan Penjara Kelantan Mula Beroperasi Pada Oktober

KOTA BAHARU, 22 Sept - Jabatan Penjara Kelantan akan menempatkan 20 Orang Di Parol (ODP) di rumah perantaraan yang pertama diwujudkan di negeri ini, di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, bermula Oktober ini.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Penjara Hamzani Che Berahim berkata ia bertujuan membantu ODP memulakan hidup baharu dengan lebih baik selepas menjalani hukuman.

"Rumah perantaraan ini akan menjadi satu dimensi baharu buat ODP kerana mungkin sebelum ini mereka berjauhan dengan keluarga, tersisih daripada masyarakat dan tiada tempat tinggal.

"Jadi kita kurangkan beban psikologi supaya mereka berasa gembira dan selesa sebab masih ada orang mengambil berat tentang mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Penerimaan Tugas Parol dan Perkhidmatan Komuniti di Penjara Pengkalan Chepa, di sini Selasa.

Beliau sebelum itu menerima tugas sebagai Pengarah Penjara Kelantan daripada Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff yang ditukarkan ke Penjara Alor Setar, Kedah.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Penjara Bentong, Pahang Timbalan Komisioner Penjara Muhammad Zuki Muhammad Zain.

Hamzani berkata rumah perantaraan itu juga memainkan peranan penting bagi membantu ODP berubah menjadi lebih baik, sekali gus boleh membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

"Kita akan adakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan bimbingan agar mereka tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Pihak kami juga akan menerima ODP dari Pahang dan Terengganu sekiranya ada kekosongan tempat," katanya.

Program Rumah Perantaraan Jabatan Penjara merupakan antara 50 inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan kadar jenayah negara.

Idea penubuhan Rumah Perantaraan dicetuskan dalam Makmal Pengurangan Jenayah yang diadakan pada Oktober 2009 di bawah inisiatif Program Penempatan Semula Banduan selepas dibebaskan daripada penjara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan