TANAH MERAH - Tiada lebih menggembirakan bagi seorang warga emas di Kampung Peralla, dekat sini, menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi selain dapat menikmati bekalan air bersih yang dinantikan sejak sekian lama.
Setelah hampir dua tahun membayar wang cagaran untuk pemasangan meter, Hasnah Jusoh, 60, dapat menarik nafas lega apabila pihak bertanggungjawab akhirnya memasang kemudahan itu di rumahnya, baru-baru ini.
Hasnah turut mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian kerana menyiarkan masalah tersebut sehingga mendapat perhatian segera pihak terbabit.
“Bila masalah lewat pasang meter di kampung ini disiarkan dalam Sinar Harian, pada hari sama mereka datang pasang meter di rumah makcik dan beberapa rumah lain di kampung ni.
“Sekarang pun, mereka tengah pasang di rumah yang belum ada meter tapi dah bayar deposit sejak awal tahun lepas lagi seperti makcik,” katanya.
Hasnah juga ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila pemasangan meter air itu dibuat menjelang majlis kenduri kahwin anaknya yang akan dilangsungkan pada Aidiladha, akhir bulan ini.
“Sebelum ni, makcik buntu memikirkan persiapan untuk majlis kenduri kahwin disebabkan masalah air.
“Sekarang ni, air dah ada cuma makcik tiada wang lagi nak beli paip untuk sambung masuk dalam rumah,” katanya.
Akhbar ini, 3 September lalu melaporkan aduan penduduk mengenai kelewatan pemasangan meter selama hampir dua tahun di bawah projek retikulasi air bersih bernilai lebih RM10 juta.
Masalah timbul apabila pihak terbabit lewat memasang meter air walaupun penduduk sudah menjelaskan bayaran wang cagaran atau deposit pemasangan meter air itu pada Januari tahun lalu.
Kelewatan itu turut mendapat perhatian Penyelia Dun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustafa yang meminta pihak terlibat segera menyelesaikan masalah tersebut demi kemudahan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan