Halaman

Jumaat, 11 September 2015

Banjir besar dijangka tak berlaku

Alui (kiri) melihat model tornado bersama pelajar
SMK Bandar Kuala Krai, semalam.
KUALA KRAI - Jabatan Meteorologi menjangkakan tiada banjir besar di negeri ini khususnya di Kuala Krai, berdasarkan purata hujan November dan Disember tahun ini yang dijangka antara 600 hingga 700 mililiter.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari berkata, dari segi taburan hujan dalam jangka masa 30 tahun ke atas, hujan sekarang berada pada purata kering kerana jumlahnya tidak banyak.

“Kita tidak menjangkakan purata hujan lebih dari itu, tetapi faktor meteorologi yang lain seperti fenomena elnino turut mempengaruhi jumlah hujan.

“Tahun ini elnino dijangka ke arah pertengahan, jumlah hujan antara 600 hingga 700 mililiter yang banjirnya berada dalam keadaan lazim,” katanya kepada pemberita pada Kempen Kesedaran Awam Mengenai Cuaca Ekstrem dan Banjir di SMK Bandar Kuala Krai, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi; Ketua Jajahan Kuala Krai, Tengku Azmi Tengku Jaafar; Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning; ketua-ketua jabatan terlibat dan kepimpinan peringkat kampung.

Menurut Alui, banjir juga dipengaruhi taburan hujan itu sendiri, sama ada berlaku setiap hari atau dalam tempoh masa tertentu.

“Sekiranya hujan pada tiap hari dan taburannya sekata, itu tidak menjadi masalah.

“Ketika banjir besar melanda Kuala Krai hujung tahun lalu, purata hujan ketika itu ialah 1,200 mililiter, ditambah lokasi daerah ini di tengah pertemuan tiga sungai utama,” katanya.

Menurut Alui lagi, bagi memberikan maklumat terkini kepada orang ramai terutama pada musim tengkujuh, kebiasaannya tiga hari sebelum berlakunya hujan lebat, keadaan semasa ketika itu akan dimaklumkan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jerebu yang melanda beberapa negeri di Pantai Barat, beliau menjangkakan masalah itu bakal berakhir berikutan peralihan monsun yang berlaku sekitar Oktober.

“Kebiasaan masalah jerebu antara Jun hingga September, selepas itu Oktober, bulan antara monsun yang membawa hujan. Hujan membawa zarah terampai turun, seterusnya membersihkan segala kotoran,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan