Rawatan kepada mangsa yang terkena 'sihir pemisah'. |
PASIR PUTEH - Pengamal perubatan Islam mendedahkan bahawa 'sihir pemisah' dilakukan bagi memecahbelahkan rumahtangga semakin menjadi-jadi yang berpunca daripada manusia tidak berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Pengurus Pusat Rawatan Islam Tok Ayah, Mohd Hafiz Nor berkata, dendam, cemburu dan hasad dengki menyebabkan manusia melakukan sihir tersebut tanpa memikirkan kesannya ke atas akidah.
Katanya, akhir-akhir ini beliau kerap mengendalikan kes sedemikian yang menyebabkan pasangan tidak lagi bahagia.
"Sihir itu membangkitkan rasa benci suami kepada isteri atau sebaliknya sehingga kerap bertengkar walaupun hanya kerana hal remeh temeh.
"Sihir itu juga menyebabkan pandangan mata berubah seperti suami melihat isterinya hodoh walau hakikatnya cantik," katanya.
Mohd Hafiz yang lebih dikenali sebagai Tok Ayah berkata, mereka yang terkena sihir itu lazimnya nafsu seks menjadi dingin, tempoh haid menjadi lebih lama, sakit tubuh badan, lesu dan sukar tidur malam.
"Saya menasihati pesakit agar sentiasa membaca ayat suci al-Quran khususnya ayat Kursi dan surah al-Baqarah," katanya ketika ditemui di pusat rawatannya di simpang Hospital Tengku Anis di sini, hari ini.
Katanya, rawatan dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran merupakan jalan penyelesaian terbaik kerana ALLAH SWT berkuasa ke atas segala sesuatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan