Kenderaan polis terbenam dalam lumpur ketika dalam perjalanan mencari mangsa. |
GUA MUSANG - Harapan keluarga tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi, dekat sini, yang hilang sejak tiga minggu lalu untuk menemui semula anak mereka dianggap semakin tipis.
Ini berikutan usaha pasukan menyelamat membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan masih gagal menjumpai mangsa walaupun hari ini (semalam) telah masuk hari ke-19 gerakan mencari dilancarkan.
Kawasan pencarian juga semakin diperluaskan ke zon tiga dan setakat petang ini (semalam) pasukan mencari belum menemui sebarang petunjuk baharu.
Anggota menyelamat juga berhadapan situasi sukar dalam usaha menjejaki mangsa berikutan keadaan bukit yang tinggi dan laluan sungai.
Bagaimanapun, cabaran itu tidak sedikit pun melemahkan semangat mereka untuk meneruskan misi pencarian.
Sebagai memberi semangat kepada keluarga mangsa, pelbagai pihak juga tidak putus-putus datang memberi nasihat dan bantuan.
Kelmarin, rombongan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) datang untuk bertemu ahli keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan.
Rombongan itu diketuai Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Serpudin Mohamad yang mengambil masa lebih sejam mendengar taklimat daripada Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah di Khemah Operasi di Pos Tohoi dan menemui keluarga mangsa.
Yakin anak masih hidup
Meskipun usaha pencarian sudah lebih dua minggu, semua keluarga mangsa tetap berharap anak masing-masing masih hidup dan mahu pasukan menyelamat teruskan usaha menjejaki mereka.
Menurut Medah Angah, 38, yang kehilangan dua anak dalam kejadian itu, dia tetap yakin anaknya masih hidup.
Katanya, sebagai ibu dia sangat sedih kerana dua anak hilang sekali gus.
“Tak tahulah apa nak saya katakan dalam keadaan begini kerana pelbagai andaian dibuat pihak tertentu, malah bomoh yang datang untuk buat ramalan juga beritahu anak kami masih hidup.
“Kami bukan nak percaya sangat pasal ramalan bomoh tu, tapi mungkin ada kebenarannya tersesat dalam hutan ketika mereka melarikan diri pada hari kejadian,” katanya.
Medah berkata, dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang ke Pos Tohoi untuk membantu dalam gerakan mencari anaknya bersama lima rakan yang lain.
“Kami amat rindu pada mereka berdua kerana telah 19 hari Noreen dan Haikal hilang tanpa diketahui beritanya,” katanya.
Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli termasuk enam perempuan dan seorang lelaki dari SK Pos Tohoi melarikan diri dari sekolah kerana takut dikenakan tindakan guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.
Tujuh murid yang hilang dari Kampung Gawing dan Penat tu ialah Mirsudiar Aluj, 11; Noreen Yaacob, 10; Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, operasi mencari tujuh murid yang hilang itu masih berjalan seperti biasa dan setakat ini belum menemui petunjuk baharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan