TUMPAT - Seorang warga emas hilang punca untuk menjejaki isterinya yang menghilangkan diri tanpa sebarang berita sejak dua bulan lalu.
Daud Derahman, 73, berkata, isterinya, Esah Mat, 61, hilang selepas dia pulang dari masjid di Kampung Ketil dekat sini, pada Ramadan lalu.
“Hari isteri saya hilang itu, saya tiada di rumah, saya ke masjid untuk mengambil wang zakat.
“Bila saya pulang jam 10.30 pagi, isteri saya sudah tiada, pakaiannya semua dia bawa,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga bersama isterinya itu selepas menduda selama sembilan tahun.
Menurutnya, dia tidak menyangka sebulan selepas bernikah, isterinya sanggup meninggalkannya tanpa diketahui sebarang punca masalah.
“Kami tidak pernah bergaduh, tidak pernah ada apa-apa masalah sebelum ini,” katanya sebak.
Berikutan kehilangan isterinya itu, Daud cuba mencari di rumah saudara mara isterinya dan sekitar Kota Bharu namun gagal menemui isterinya.
Katanya, laporan polis sudah dibuat berhubung kehilangan Esah kerana buntu untuk menjejakinya serta khuatir dia ditimpa musibah.
“Saya tak tahu di mana dia berada, mungkin di Kelantan lagi atau sudah pergi jauh.
“Sesiapa yang ada menemuinya boleh menghubungi saya di talian 014-846 9203,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan