Halaman

Ahad, 4 Oktober 2015

Dua beranak diami rumah usang

BACHOK - Dua beranak dari Kampung Telaga Ara dekat sini, terpaksa mendiami rumah usang berusia lebih 40 tahun lalu.

Asri Othman, 42, bersama anaknya, Nur Aina Nabilah, 19, mendiami rumah pusaka itu, dan tidak mampu untuk membaik pulih segala kerosakan.

“Saya kerja kampung sahaja dan terpaksa tinggal di rumah ini. Anak saya yang lain dah tinggal bersama ibu mereka di tempat lain.

“Sekarang hanya tinggal seorang anak bersama saya. Rumah ini asalnya milik ibu saya, Makelesom Abas tetapi kini ibu saya tinggal di rumah adik- beradik lain yang berdekatan. Kalau boleh saya perlukan bantuan untuk baik pulih rumah ini yang amat usang,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian bersama Penyelaras Dun Jelawat, Mohd Radzuan Hamat mendapati banyak dinding rumah papan tersebut telah reput dan berlubang, malah atap juga bocor.

Mohd Radzuan berharap agensi berkenaan tampil menghulurkan bantuan untuk membaik pulih kediaman Asri demi keselesaan keluarga terbabit.

Tidak sempat bawa lari barang curi

GUAL TINGGI – Dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun ditahan kerana dipercayai cuba menceroboh sebuah rumah penduduk di Kampung Gual Tinggi, pada jam 9.30 malam, Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek dikatakan tidak sempat melarikan barang yang diambil dari rumah mangsa, Zulkifli Ibrahim, 36.

Berdasarkan laporan polis, menyedari kegiatan mereka disedari oleh Zulkifli, suspek kemudiannya cuba menyerang mangsa menggunakan besi dan pada masa sama, kelibat tiga lagi suspek dilihat cuba melarikan barangan yang diambil dari rumah berkenaan.

Mengikut laporan itu lagi, berlaku pergelutan antara Zulkifli dan suspek sebelum mangsa diselamatkan oleh penduduk sekitar.

Hasil pemeriksaan, mangsa mendapati palang besi di bahagian belakang rumahnya telah dipotong, manakala komputer riba, barang kemas, wang tunai dan beberapa barangan lain hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu serta memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan dan bersenjata.

Selasa, 22 September 2015

Rumah Perantaraan Penjara Kelantan Mula Beroperasi Pada Oktober

KOTA BAHARU, 22 Sept - Jabatan Penjara Kelantan akan menempatkan 20 Orang Di Parol (ODP) di rumah perantaraan yang pertama diwujudkan di negeri ini, di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, bermula Oktober ini.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Penjara Hamzani Che Berahim berkata ia bertujuan membantu ODP memulakan hidup baharu dengan lebih baik selepas menjalani hukuman.

"Rumah perantaraan ini akan menjadi satu dimensi baharu buat ODP kerana mungkin sebelum ini mereka berjauhan dengan keluarga, tersisih daripada masyarakat dan tiada tempat tinggal.

"Jadi kita kurangkan beban psikologi supaya mereka berasa gembira dan selesa sebab masih ada orang mengambil berat tentang mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Penerimaan Tugas Parol dan Perkhidmatan Komuniti di Penjara Pengkalan Chepa, di sini Selasa.

Beliau sebelum itu menerima tugas sebagai Pengarah Penjara Kelantan daripada Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff yang ditukarkan ke Penjara Alor Setar, Kedah.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Penjara Bentong, Pahang Timbalan Komisioner Penjara Muhammad Zuki Muhammad Zain.

Hamzani berkata rumah perantaraan itu juga memainkan peranan penting bagi membantu ODP berubah menjadi lebih baik, sekali gus boleh membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

"Kita akan adakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan bimbingan agar mereka tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Pihak kami juga akan menerima ODP dari Pahang dan Terengganu sekiranya ada kekosongan tempat," katanya.

Program Rumah Perantaraan Jabatan Penjara merupakan antara 50 inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan kadar jenayah negara.

Idea penubuhan Rumah Perantaraan dicetuskan dalam Makmal Pengurangan Jenayah yang diadakan pada Oktober 2009 di bawah inisiatif Program Penempatan Semula Banduan selepas dibebaskan daripada penjara.

Sabtu, 19 September 2015

2 nyaris maut kenderaan jatuh cerun

Atan menunjukkan kenderaan dinaiki terjatuh dalam cerun di tepi Sungai Nenggiri.
GUA MUSANG - Dua pemuda Orang Asli nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbalik dalam cerun ketinggian 10 meter di Kampung Gua Cha, Jalan Gua Musang - Pos Tohoi, dekat sini, petang kelmarin.

Bagaimanapun, dua mangsa itu pemandu kenderaan terbabit Badira Angah, 20 bersama seorang penumpang, Atan Hamdan, 24, hanya mengalami cedera ringan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Kampung Kuala Betis ke Pos Tohoi untuk ambil penduduk Orang Asli bawah keluar membeli belah di bandar ini.

Ketika dalam perjalanan itu, Badira yang memandu kenderaan cuba elak lubang besar sebelum terbabas ke kanan jalan lalu terbalik ke dalam cerun di tepi Sungai Nenggiri.

Badira ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia menjerit bagi menyedarkan Atan yang sedang tidur semasa kenderaan terbabas dan sama-sama keluar menerusi cermin depan yang pecah bagi menyelamatkan diri.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku dengan sekelip mata sahaja dan bernasib baik kenderaan tersekat pada pokok kayu di tepi sungai jika tidak mungkin tenggelam ke dalam suangi berkenaan.

“Pada mulanya kereta itu berada separuh terlentang selepas terguling beberapa kali tetapi kami berdua menolak supaya kedudukan seperti biasa walaupun keadaan kenderaan separuh remuk,” katanya.

Atan pula berkata, ketika kejadian itu dia tidak ingat lain lagi kecuali mati kerana kenderaan yang naikinya berguling ketinggian 10 meter dan tersekat di tepi sungai yang arusnya deras.

Beliau berkata, sebelum itu dia sedang tidur dan tiba-tiba terasa terpelanting dalam kenderaan sebelum merangkak keluar menerusi cermin depan yang pecah.

“Nasib baik keadaan kami berdua hanya cedera ringan jika terbalik ke dalam sungai tak tahulah apa terjadi dan kami dibantu penduduk yang kebetulan lalui menarik saya naik ke atas jalan,” katanya.

Selasa, 15 September 2015

Ibu muda dipenjara

KOTA BHARU - Pengajaran buat seorang ibu muda kepada dua cahaya mata kerana kesalahan memiliki wang palsu berjumlah RM600, dia dihukum penjara tiga tahun enam bulan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus selepas tertuduh, Nur Nadia Natasha Che Yin, 23, mengaku salah atas tuduhan itu.

Dia didakwa memiliki enam not RM50 palsu di hadapan sebuah kedai di Jalan Bayam, di sini, pada jam 4.45 pagi, 31 Ogos lalu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan merayu hukuman dikurangkan dengan mengambil kira usia yang masih muda.

“Tertuduh tamat pelajaran di tingkatan lima dan perlu menyara dua anaknya berusia 2 tahun serta sebulan. Pada usia ini, tertuduh perlu diberi peluang memperbaiki diri dan hukuman pemenjaraan yang lama akan mendedahkan tertuduh kepada perkara lebih negatif,” kata peguam.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mariah Omar yang mengendalikan kes itu bagaimanapun memohon mahkamah memutuskan satu hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.

Mohd Yusoff kemudian mengarahkan hukuman berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan, 31 Ogos lalu.
Tertuduh ditahan ketika menunggang motosikal bersama seorang lelaki oleh pasukan rondaan cegah jenayah sebelum menyerahkan satu beg berisi pisau lipat dan duit palsu tersebut.  

Dalam perkembangan sama, tertuduh juga mengaku salah di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin kerana memiliki 2.57 gram dadah jenis metamphetamine pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.
Hukuman terhadapnya ditangguhkan 3 November depan untuk mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah berkenaan.
Tertuduh dari Kampung Paloh, dikawal polis keluar dari mahkamah selepas dihukum.

'Sekolah adakan majlis tahlil buat arwah'

JELI - Pemergian ke rahmatullah seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli, Siti Norushlizan Zolkifli, 37, yang maut dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Jumaat lalu, turut dirasai warga sekolah berkenaan.

Pengetuanya, Mazlan Yaacob berkata, sebagai seorang Guru Penyelaras Bestari (GPB) yang rajin dan berdedikasi serta banyak membantu pelajar, pemergian Allahyarham disifatkan satu kehilangan besar kepada seluruh warga sekolah itu.

Bahkan, katanya, sebelum berangkat ke Tanah Suci Makkah, Allahyarham sempat melaksanakan beberapa program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk mengadakan kelas komputer untuk pelajarnya.

"Walaupun saya baharu berkhidmat di sekolah ini, akhir tahun lalu, saya dapat buat penilaian terhadap segala usaha dibuat arwah untuk pelajarnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mazlan, beliau dan warga sekolah itu amat terkejut apabila mendapat tahu mengenai kehilangan Siti Norushlizan dan berita beliau disahkan meninggal dunia.

"Kami terkejut bila dapat berita kematiannya kerana arwah baharu sahaja berangkat ke Makkah, Rabu lalu. Susulan berita sedih ini, kami adakan majlis tahlil untuk arwah," katanya.

Pembinaan 11 jeti terlalu perlahan

TUMPAT - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak berpuas hati perkembangan pembinaan 11 jeti di Pengkalan Kubor kerana terlalu perlahan.

Mustapa berkata, sepatutnya pembinaan jeti tersebut yang melibatkan peruntukan RM2.5 juta dapat disiapkan pada November ini.

“Nampaknya pembinaannya tidak serius apabila pembinaan jeti besar di Pantai Geting bernilai setengah juta itu hanya ada tiga pekerja.

“Saya cukup bimbang ia tidak dapat disiapkan tahun ini kerana November dan Disember, negeri ini akan dilanda banjir pula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tinjauan di tapak pembinaan jeti di Pantai  Geting, kelmarin.

Turut sama, Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz dan Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Pembinaan jeti itu adalah antara janji pada PRK Dun Pengkalan Kubor tahun lalu untuk kemudahan nelayan di sini, seperti dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lokasi jeti yang akan dibina bermula dari Kampung Kebun hingga ke Pantai Geting.

10 jeti kecil (jeti tambat bot) dengan kos antara RM100,000 hingga RM150,000 dan satu jeti pendaratan ikan bernilai RM500,000.

Isnin, 14 September 2015

7 murid diramal masih hidup

GUA MUSANG - Untuk seketika, keluarga tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi yang hilang sejak lebih tiga minggu lalu mampu menarik nafas lega setelah dimaklumkan bahawa kesemua mangsa dipercayai masih hidup.

Makluman berkenaan diberikan oleh bomoh Orang Asli yang juga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Bidor, Perak, setelah mengetuai upacara sewang pada malam kedua di Kampung Pos Tohoi, malam kelmarin.

Keyakinan keluarga mangsa adalah berdasarkan bomoh berusia lingkungan 50-an itu dianggap bukan calang-calang bomoh dan telah banyak berjasa kepada masyarakat Orang Asli.

Upacara sewang yang turut membabitkan seramai 45 anggota PGA dari Kem Bidor diteruskan untuk malam ketiga, semalam, bagi mendapatkan petunjuk baharu dalam usaha mencari ketujuh-tujuh murid berkenaan.

Seminggu kebelakangan ini, keluarga mangsa gelisah kerana terkenang anak masing-masing yang tidak diketahui sama ada hilang di kawasan hutan atau di tempat lain.

Sungguhpun diramal masih hidup, keadaan sebenar ketujuh murid berkenaan belum diketahui dan keluarga masing-masing terus berharap pasukan mencari dapat menemui mereka.

Mungkin lebih jelas pada malam ketiga
 
Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Dendi Johari berkata, upacara sewang malam ketiga mungkin memberi petunjuk lebih jelas berikutan telah ada sedikit petunjuk pada malam kedua upacara itu dilaksanakan.

"Kita telah habis usaha untuk kesan tujuh murid itu dan mungkin petunjuk lebih jelas apabila bomoh membangkitkan semangat pada sewang malam terakhir, kerana ketika itu banyak pemujaan akan dilakukan.

"Ramalan anak mereka masih hidup sekurang-kurangnya memberi semangat baharu kepada keluarga," katanya.

Mampu berdikari dalam hutan

Selain ramalan upacara sewang, pemandu pelancong berpengalaman luas meneroka gua dan hutan di Gua Musang turut mempercayai tujuh murid Orang Asli terbabit masih hidup.

Sebilangan pemandu pelancong percaya, walaupun sudah lebih 20 hari murid-murid berkenaan hilang, namun mereka dipercayai dapat berdikari dan meneruskan hidup kerana kebiasaan tinggal di kawasan hutan bersama keluarga.

Salah seorang pemandu pelancong, Mohd Tahir Mat Saman, 55, yang berpengalaman lebih 30 tahun beranggapan kebanyakan masyarakat Orang Asli telah diajarkan ilmu hutan sejak kecil.

"Mereka arif mengenai kawasan hutan dan boleh dianggap pelik jika Orang Asli sesat dalam hutan. Kawasan hutan ini merupakan tempat mereka.
 
"Saya rasa masyarakat Orang Asli pasti telah melatih anak-anak mereka untuk tinggal dalam kawasan hutan sejak kecil lagi," katanya.

Dalam pada itu Mohd Tahir tetap berharap agar misteri kehilangan jurutera Petronas di Pulau Kendong, dekat Pos Pulat, di sini, pada 2004 dan terus menjadi misteri sehingga kini tidak berulang.

Sementara itu, Sabri Zul, 34, menganggap kehilangan serentak tujuh murid Orang Asli berkenaan pada hari sama sebagai kejadian pelik dan penuh misteri berikutan mereka gagal dikesan sehingga kini.

Berpengalaman selama 16 tahun sebagai pemandu pelancong di Taman Negara Sungai Relau, Pahang, Sabri pernah terlibat dalam operasi mencari seorang penuntut universiti tempatan yang hilang selama 19 hari di Gunung Tahan pada 2008.

"Pelajar berkenaan, Nur Umaisarah Sameaun merupakan seorang gadis Melayu yang tiada kepakaran ilmu hutan...tetapi dia dapat bertahan selama hampir 20 hari sebelum ditemui pendaki dan anggota penyelamat.

"Kerana itu saya percaya, tujuh murid Orang Asli tersebut masih hidup kerana mereka sudah biasa dengan persekitaran hutan. Ikut pengalaman lepas, orang yang terperangkap selama 20 tahun dalam hutan pun berjaya ditemui walaupun dalam keadaan tidak bermaya, lapar dan fizikal kurus kering," katanya.

Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli, iaitu, Mirsudiar Alui, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7, melarikan diri dari asrama SK Pos Tohoi kerana takut dikenakan tindakan atas kesalahan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Ahad, 13 September 2015

Kuatkan semangat dan reda

Kota Bharu: “Ayah minta kuatkan semangat kerana mengetahui kami lima beradik amat rapat dengan arwah ibu," kata Muhamad Hafizan Muhammad Noor, 26 anak jemaah haji, Rohana Ismail, 54, yang disahkan meninggal dunia, malam tadi.

Menurutnya, dia sekeluarga sudah mengetahui berita pemergian ibunya pada 11.30 malam menerusi bapanya Muhammad Noor Harun, 56, yang berada di Makkah.

"Ayah membuat pengecaman arwah pada jam 8.30 malam tadi di hospital sebelum beliau memaklumkan kepada kami sendiri.

"Kami di sini sudah bersedia untuk berdepan segala kemungkinan dan reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Muhamad Hafizan berkata, jenazah ibunya akan disemadikan di Makkah.
Bagi Che Halimah Che Muda, 47, anak kepada Munah Jusoh, 73 yang turut terkorban, dia reda dengan apa yang berlaku.

"Apapun kami terima dengan reda kerana arwah pun meninggal dunia di tempat yang baik," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, wakil Tabung Haji turut hadir ke rumahnya untuk memaklumkan berita berkenaan.

Dalam pada itu, Siti Aishah Syed Hussin, 63, ibu kepada Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, yang disahkan terkorban enggan mengulas lanjut dan hanya memaklumkan anaknya sudah kembali ke rahmatullah.

Siti Aishah yang kini berada di Kuala Lumpur berkata, dia masih terkejut dan sedih dengan pemergian anak perempuannya itu.

"Saya dimaklumkan oleh wakil Tabung Haji yang datang ke rumah ketika sidang media sedang berlangsung di televisyen," katanya sambil menangis.

Jumaat, 11 September 2015

Meter air akhirnya dipasang

TANAH MERAH - Tiada lebih menggembirakan bagi seorang warga emas di Kampung Peralla, dekat sini, menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi selain dapat menikmati bekalan air bersih yang dinantikan sejak sekian lama.

Setelah hampir dua tahun membayar wang cagaran untuk pemasangan meter, Hasnah Jusoh, 60, dapat menarik nafas lega apabila pihak bertanggungjawab akhirnya memasang kemudahan itu di rumahnya, baru-baru ini.

Hasnah turut mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian kerana menyiarkan masalah tersebut sehingga mendapat perhatian segera pihak terbabit.

“Bila masalah lewat pasang meter di kampung ini disiarkan dalam Sinar Harian, pada hari sama mereka datang pasang meter di rumah makcik dan beberapa rumah lain di kampung ni.

“Sekarang pun, mereka tengah pasang di rumah yang belum ada meter tapi dah bayar deposit sejak awal tahun lepas lagi seperti makcik,” katanya.

Hasnah juga ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila pemasangan meter air itu dibuat menjelang majlis kenduri kahwin anaknya yang akan dilangsungkan pada Aidiladha, akhir bulan ini.

“Sebelum ni, makcik buntu memikirkan persiapan untuk majlis kenduri kahwin disebabkan masalah air.

“Sekarang ni, air dah ada cuma makcik tiada wang lagi nak beli paip untuk sambung masuk dalam rumah,” katanya.

Akhbar ini, 3 September lalu melaporkan aduan penduduk mengenai kelewatan pemasangan meter selama hampir dua tahun di bawah projek retikulasi air bersih bernilai lebih RM10 juta.

Masalah timbul apabila pihak terbabit lewat memasang meter air walaupun penduduk sudah menjelaskan bayaran wang cagaran atau deposit pemasangan meter air itu pada Januari tahun lalu.

Kelewatan itu turut mendapat perhatian Penyelia Dun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustafa yang meminta pihak terlibat segera menyelesaikan masalah tersebut demi kemudahan rakyat.

Misi mencari masuk hari ke-19

Kenderaan polis terbenam dalam lumpur ketika
dalam perjalanan mencari mangsa.

GUA MUSANG - Harapan keluarga tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi, dekat sini, yang hilang sejak tiga minggu lalu untuk menemui semula anak mereka dianggap semakin tipis.

Ini berikutan usaha pasukan menyelamat membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan masih gagal menjumpai mangsa walaupun hari ini (semalam) telah masuk hari ke-19 gerakan mencari dilancarkan.

Kawasan pencarian juga semakin diperluaskan ke zon tiga dan setakat petang ini (semalam) pasukan mencari belum menemui sebarang petunjuk baharu.

Anggota menyelamat juga berhadapan situasi sukar dalam usaha menjejaki mangsa berikutan keadaan bukit yang tinggi dan laluan sungai.

Bagaimanapun, cabaran itu tidak sedikit pun melemahkan semangat mereka untuk meneruskan misi pencarian.

Sebagai memberi semangat kepada keluarga mangsa, pelbagai pihak juga tidak putus-putus datang memberi nasihat dan bantuan.

Kelmarin, rombongan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) datang untuk bertemu ahli keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan.

Rombongan itu diketuai Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Serpudin Mohamad yang mengambil masa lebih sejam mendengar taklimat daripada Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah di Khemah Operasi di Pos Tohoi dan menemui keluarga mangsa.


Yakin anak masih hidup

Meskipun usaha pencarian sudah lebih dua minggu, semua keluarga mangsa tetap berharap anak masing-masing masih hidup dan mahu pasukan menyelamat teruskan usaha menjejaki mereka.

Menurut Medah Angah, 38, yang kehilangan dua anak dalam kejadian itu, dia tetap yakin anaknya masih hidup.

Katanya, sebagai ibu dia sangat sedih kerana dua anak hilang sekali gus.

“Tak tahulah apa nak saya katakan dalam keadaan begini kerana pelbagai andaian dibuat pihak tertentu, malah bomoh yang datang untuk buat ramalan juga beritahu anak kami masih hidup.

“Kami bukan nak percaya sangat pasal ramalan bomoh tu, tapi mungkin ada kebenarannya tersesat dalam hutan ketika mereka melarikan diri pada hari kejadian,” katanya.

Medah berkata, dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang ke Pos Tohoi untuk membantu dalam gerakan mencari anaknya bersama lima rakan yang lain.

“Kami amat rindu pada mereka berdua kerana telah 19 hari Noreen dan Haikal hilang tanpa diketahui beritanya,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli termasuk enam perempuan dan seorang lelaki dari SK Pos Tohoi melarikan diri dari sekolah kerana takut dikenakan tindakan guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid yang hilang dari Kampung Gawing dan Penat tu ialah Mirsudiar Aluj, 11; Noreen Yaacob, 10; Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, operasi mencari tujuh murid yang hilang itu masih berjalan seperti biasa dan setakat ini belum menemui petunjuk baharu.

Banjir besar dijangka tak berlaku

Alui (kiri) melihat model tornado bersama pelajar
SMK Bandar Kuala Krai, semalam.
KUALA KRAI - Jabatan Meteorologi menjangkakan tiada banjir besar di negeri ini khususnya di Kuala Krai, berdasarkan purata hujan November dan Disember tahun ini yang dijangka antara 600 hingga 700 mililiter.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari berkata, dari segi taburan hujan dalam jangka masa 30 tahun ke atas, hujan sekarang berada pada purata kering kerana jumlahnya tidak banyak.

“Kita tidak menjangkakan purata hujan lebih dari itu, tetapi faktor meteorologi yang lain seperti fenomena elnino turut mempengaruhi jumlah hujan.

“Tahun ini elnino dijangka ke arah pertengahan, jumlah hujan antara 600 hingga 700 mililiter yang banjirnya berada dalam keadaan lazim,” katanya kepada pemberita pada Kempen Kesedaran Awam Mengenai Cuaca Ekstrem dan Banjir di SMK Bandar Kuala Krai, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi; Ketua Jajahan Kuala Krai, Tengku Azmi Tengku Jaafar; Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning; ketua-ketua jabatan terlibat dan kepimpinan peringkat kampung.

Menurut Alui, banjir juga dipengaruhi taburan hujan itu sendiri, sama ada berlaku setiap hari atau dalam tempoh masa tertentu.

“Sekiranya hujan pada tiap hari dan taburannya sekata, itu tidak menjadi masalah.

“Ketika banjir besar melanda Kuala Krai hujung tahun lalu, purata hujan ketika itu ialah 1,200 mililiter, ditambah lokasi daerah ini di tengah pertemuan tiga sungai utama,” katanya.

Menurut Alui lagi, bagi memberikan maklumat terkini kepada orang ramai terutama pada musim tengkujuh, kebiasaannya tiga hari sebelum berlakunya hujan lebat, keadaan semasa ketika itu akan dimaklumkan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jerebu yang melanda beberapa negeri di Pantai Barat, beliau menjangkakan masalah itu bakal berakhir berikutan peralihan monsun yang berlaku sekitar Oktober.

“Kebiasaan masalah jerebu antara Jun hingga September, selepas itu Oktober, bulan antara monsun yang membawa hujan. Hujan membawa zarah terampai turun, seterusnya membersihkan segala kotoran,” katanya.

Pengantin diarak dengan tujuh lori

Siti Aqilah (tengah) bersiap sedia sebelum diarak
dengan lori oleh ahli keluarganya sempena
majlis sambut menantu.

PASIR MAS - Raja sehari, Siti Aqilah Adnan, 20, cuba mencari kelainan apabila dia diarak dengan tujuh lori sempena majlis sambut menantu.

Anak kedua daripada empat beradik itu diarak dari rumahnya di Kampung Serdang ke rumah pengantin lelaki, Nazli Aqif Mohd Ghazali, 23, di Kampung Gertak Serong iaitu sejauh enam kilometer.

Siti Aqilah berkata, kelainan tersebut dibuat atas permintaan ayahnya, Adnan Mat Zain, 49, yang merupakan tauke pasir atau lebih dikenali sebagai Poknan Pasir.

“Perarakan lori ini melibatkan adik beradik serta pekerja ayah dan ia dilakukan untuk memeriahkan lagi majlis perkahwinan saya dan suami,” katanya.

Menurutnya, kelainan yang dibuat itu menjadi apabila menarik perhatian penduduk kampung dan merupakan yang pertama dilakukan di sini.

Katanya, mereka sekeluarga sangat gembira kerana perarakan tersebut berjalan dengan lancar serta meriah.

“Ia akan menjadi kenangan indah buat saya dan suami. Terima kasih kepada semua ahli keluarga yang banyak membantu menjayakan majlis perkahwinan kami,” katanya

Khamis, 10 September 2015

Tok Ayah dedah 'sihir pemisah' makin menjadi-jadi

Rawatan kepada mangsa yang terkena 'sihir pemisah'.

PASIR PUTEH - Pengamal perubatan Islam mendedahkan bahawa 'sihir pemisah' dilakukan bagi memecahbelahkan rumahtangga semakin menjadi-jadi yang berpunca daripada manusia tidak berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Pengurus Pusat Rawatan Islam Tok Ayah, Mohd Hafiz Nor berkata, dendam, cemburu dan hasad dengki menyebabkan manusia melakukan sihir tersebut tanpa memikirkan kesannya ke atas akidah.

Katanya, akhir-akhir ini beliau kerap mengendalikan kes sedemikian yang menyebabkan pasangan tidak lagi bahagia.

"Sihir itu membangkitkan rasa benci suami kepada isteri atau sebaliknya sehingga kerap bertengkar walaupun hanya kerana hal remeh temeh.

"Sihir itu juga menyebabkan pandangan mata berubah seperti suami melihat isterinya hodoh walau hakikatnya cantik," katanya.

Mohd Hafiz yang lebih dikenali sebagai Tok Ayah berkata, mereka yang terkena sihir itu lazimnya nafsu seks menjadi dingin, tempoh haid menjadi lebih lama, sakit tubuh badan, lesu dan sukar tidur malam.

"Saya menasihati pesakit agar sentiasa membaca ayat suci al-Quran khususnya ayat Kursi dan surah al-Baqarah," katanya ketika ditemui di pusat rawatannya di simpang Hospital Tengku Anis di sini, hari ini.

Katanya, rawatan dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran merupakan jalan penyelesaian terbaik kerana ALLAH SWT berkuasa ke atas segala sesuatu.

Kes denggi di Kelantan menurun 83 peratus

Nyamuk 
KOTA BHARU - Kelantan mencatatkan penurunan kes denggi sebanyak 83 peratus kepada 1,746 kes bagi tempoh Januari hingga 5 September tahun ini berbanding 10,331 kes bagi tempoh sama tahun lepas. 
 
Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Dr Ramli Mamat berkata, perkembangan positif itu hasil langkah kawalan dan pencegahan secara rutin yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kelantan selain pemerkasaan aktiviti pendidikan kesihatan kepada masyarakat. 
 
"Kes kematian akibat wabak denggi juga menurun kepada empat kes berbanding 16 kematian tahun lepas sepanjang tempoh sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Peringkat Jajahan Kota Baharu di Pondok Terusan, Pasir Tumboh di sini, hari ini. 
 
Beliau berkata, bagaimanapun selepas musim perayaan terdapat peningkatan kes denggi mingguan yang direkodkan di beberapa jajahan termasuk Kota Baharu, Pasir Mas dan Gua Musang. 
 
Sehubungan itu katanya, langkah kawalan dan pencegahan akan diperkasa di lokasi yang dikenal pasti terutama di Kota Bharu yang mencatat kes tertinggi iaitu 792 kes setakat ini. 
 
Beliau berkata antara aktiviti kawalan itu termasuk Semburan Ruang Thermal (SRT), penghapusan tempat pembiakan nyamuk aedes dan semburan Ultra Low Volume (ULV) di semua kawasan yang berisiko. 
 
"Aktiviti penguatkuasaan juga telah dipergiat dan dilakukan di semua premis yang diperiksa bagi memastikan wabak denggi dapat dikawal," katanya. 
 
Dr Ramli berkata, hasil analisis tahun ini mendapati masih banyak tempat pembiakan nyamuk aedes dijumpai di luar kawasan rumah terutama dalam bekas plastik terbuang dan bahan terpakai. 
 
Katanya, langkah pencegahan secara efektif perlu terus dilakukan oleh masyarakat melalui penjagaan kebersihan di sekitar kediaman bagi membasmi lokasi pembiakan nyamuk aedes. - Bernama 

Kedekut punya pasal...siapa penah buat cam ni??


Kali ni kito belajar cair loley, kuca lana dan supi gelenyar



Rabu, 9 September 2015

Lari selepas sebulan nikah

TUMPAT - Seorang warga emas hilang punca untuk menjejaki isterinya yang menghilangkan diri tanpa sebarang berita sejak dua bulan lalu.

Daud Derahman, 73, berkata, isterinya, Esah Mat, 61, hilang selepas dia pulang dari masjid di Kampung Ketil dekat sini, pada Ramadan lalu.

“Hari isteri saya hilang itu, saya tiada di rumah, saya ke masjid untuk mengambil wang zakat.

“Bila saya pulang jam 10.30 pagi, isteri saya sudah tiada, pakaiannya semua dia bawa,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga bersama isterinya itu selepas menduda selama sembilan tahun.

Menurutnya, dia tidak menyangka sebulan selepas bernikah, isterinya sanggup meninggalkannya tanpa diketahui sebarang punca masalah.

“Kami tidak pernah bergaduh, tidak pernah ada apa-apa masalah sebelum ini,” katanya sebak.

Berikutan kehilangan isterinya itu, Daud  cuba mencari di rumah saudara mara isterinya dan sekitar Kota Bharu namun gagal menemui isterinya.

Katanya, laporan polis sudah dibuat berhubung kehilangan Esah kerana buntu untuk menjejakinya serta khuatir dia ditimpa musibah.

“Saya tak tahu di mana dia berada, mungkin di Kelantan lagi atau sudah pergi jauh.

“Sesiapa yang ada menemuinya boleh menghubungi saya di talian 014-846 9203,” katanya.

Peniaga didenda RM4,500 kerana rokok seludup

KOTA BHARU – Seorang peniaga didenda RM4,500 selepas mengaku salah menyimpan rokok larangan import pelbagai jenama bernilai RM443.20 di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Denda diputuskan Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed selepas tertuduh, Abd Aziz Safi Mat Nasir, 27, mengaku salah atas tuduhan terhadapnya.

Dia didakwa memiliki kesemua rokok seludup tersebut di sebuah kedai runcit di Kampung Padang Banggu, di sini, pada jam 7.15 malam, 4 Februari lalu.

Antara yang ada dalam simpanan lelaki itu ialah, satu karton Gudang Garam Nusantara Menthol; dua karton Gudang Garam Nusantara; dua karton Minna dan empat Gudang Garam Surya 12’.

Selain itu, juga terdapat empat karton Pine Prime Fresh Strawberry; enam karton John; tujuh karton John W2 dan dua karton John King.

Pada prosiding itu, tertuduh merayu dendanya diringankan, namun Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Karthy Gasedev Deva Rajoo memohon denda setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatannya membabitkan kerugian cukai kepada negara.

Mohamad Nasrudin juga mengarahkan Abd Aziz Safi menjalani hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya denda berkenaan gagal dijelaskan.

Bagaimanapun denda terbabit dibayar oleh tertuduh.